Bising bila nampak lurah faraj, diam bila tengok drama peluk-peluk- Dr Mariani


Masyarakat diminta bersikap adil terhadap gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang dikatakan memuat naik gambar menunjukkan lurah farajnya setelah memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Singapura baru-baru ini.

Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, sifat menghentam dan suka melihat keburukan orang lain dilihat satu fenomena biasa yang berniat sengaja untuk tujuan sensasi.

"Selalunya ini memang biasa bagi sifat manusia. Kita tidak nampak kebaikan namun nampak keburukan, rakyat kita memang bising bila ada aksi atau gambar yang menunjukkan lurah faraj, tetapi diam sahaja bila tengok drama atau filem yang melakonkan aksi peluk-peluk. Tetapi realitinya memang kita tahu keadaan berpakaian begitu memang haram.

"Namun apa beza apabila melihat lelaki dan perempuan berpelukan? Adakah itu tidak disensasikan juga, kalau kita lihat drama atau filem, ini memang berlaku dalam apa yang kita tonton seharian.


"Contohnya suami isteri yang berlakon berpelukan sehingga ada babak di ranjang, mengapa itu tidak disensasikan juga? Aksi gimnas itu mungkin tidak disengajakan atau memang rakyat sengaja mencari isu sensasi, itu hakikatnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Dr. Mariani mengulas sikap pengguna media sosial yang menyelar gimnas berusia 21 tahun itu selepas dikatakan memuat naik gambar dirinya menerusi laman Facebook sebuah stesen televisyen dengan dengan penampilan pakaian ketat gimnastik yang dikatakan menampakkan lurah faraj.

Dalam pada itu kata Dr. Mariani, masyarakat juga diminta tidak menyalur perasaan marah mereka di media sosial sekali gus memburukkan keadaan. Farah Ann juga meraih perak dalam acara keseluruhan individu.


"Kalau yang komen itu orang alim sekali pun, apabila dia sudah memberi komen di media sosial dan ulasan mengenai sesuatu isu itu kemudian ditokok tambah pembaca lain, pasti ia akan memburukkan lagi keadaan.


"Memang sikap manusia suka mengupas isu-isu sensitif namun di sebalik itu haruslah diambil iktibar dan lihat dalam konteks jika ia terjadi kepada anak, isteri atau ahli keluarga kita sendiri.

"Secara logiknya, takkan kita hendak bermain gimnastik dalam keadaan berjubah, masyarakat sebegini hanya menunggu masa hendak memberi kupasan hebat dan mensensasikan isu, kata orang tunggu hendak petik suis sahaja," jelasnya.


Farah muncul sebagai juara mengatasi peserta Indonesia dan Vietnam, selain menggondol tiga pingat gangsa dan satu perak menerusi beberapa lagi acara individu.

0 Response to "Bising bila nampak lurah faraj, diam bila tengok drama peluk-peluk- Dr Mariani"

Catat Ulasan