Tahap ingatan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsudin, 80, semakin merosot sehinggakan tidak mampu lagi mengenali ahli keluarganya.
Isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, berkata, Jins sebelum ini yang selalunya berbicara tentang kerjanya kini hanya mendiamkan diri.
“Memang sedih melihat tahap ingatan Jins kini tetapi saya masih bersyukur kerana keadaan fizikalnya masih sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Doktor sendiri mengesahkan Jins tidak mempunyai penyakit lain dan rawatan kini hanya melalui ubat yang perlu dimakan setiap hari serta produk kesihatan tambahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hulu Klang, dekat sini hari ini.
Turut hadir pada pertemuan kali ini ialah Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) yang memberikan sumbangan RM1,000 kepada keluarga Jins.
Menurut Pengerusi YAVM, Kismah Johar, lawatan itu diadakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab YAVM.
“Kita sedia maklum tentang tahap kesihatan Jins dan sebagai rakan artis, kita luangkan masa untuk melawat dan berikan sumbangan pada yang memerlukan,” jelasnya.
Tambahnya, YAVM sentiasa mencari rakan artis yang mempunyai masalah kesihatan atau ditimpa musibah lain untuk dibantu. - Utusan Online
0 Response to "Terkini : Tan Sri Jins Shamsudin sudah lupa semua - Isteri"
Catat Ulasan