Tragedi meragut 3 nyawa di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa2, Kemaman, tempoh hari, turut menjadikan seorang bayi berusia dua bulan, Muhammad Saif Danial Rosli, anak yatim.
Ibu bayi itu, Nur Alifah Md Yusuf, 27, seorang kakitangan Public Bank Dungun, terbunuh bersama rakan sekerjanya, Tan Lee Lee, 47, dan seorang lagi, Azuddin Deraman @ Muda, 45, apabila dirempuh sebuah kereta ketika berada di lorong kecemasan.
Ibu mangsa, Wan Norasyikin Wan Mohd Amin, 53, berkata, cucunya itu sememangnya tidak faham apa-apa tentang erti kehilangan, tetapi ahli keluarga yang melihatnya terasa amat sedih dan sayu.
Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya yang baru sahaja dua hari memulakan kerja selepas habis tempoh berpantang, sudah pergi buat selama-lamanya.
“Arwah berpantang di rumah saya, tetapi apabila sudah mula bekerja dia bagi anaknya untuk dijaga ibu mertua kerana saya juga bekerja.
“Kali terakhir saya bertemunya pada Sabtu lalu, iaitu sehari sebelum dia bekerja. Sebelum itu dia sudah beritahu akan hadir mesyuarat di Kuantan pada Isnin.
“Bagaimanapun, dia kelihatan agak gelisah dan runsing kerana terpaksa meninggalkan anaknya yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Pulut, di sini, semalam.
Talian terputus
Kata Wan Norasyikin, pada malam sebelum kejadian, Nur Alifah ada menghubunginya tetapi mereka tidak sempat berbual panjang kerana tiba-tiba talian terputus.
“Dia tidak menghubungi saya semula dan apabila teringatkan dia, saya terus menghubunginya kira-kira jam 8.15 pagi, tetapi tidak berjawab.
“Naluri keibuan saya mengatakan bagai ada sesuatu yang tidak kena dan kira-kira jam 9 pagi, salah seorang menantu menghubungi saya mengatakan Ifah kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.
Katanya, dia tidak mempercayai berita itu dan bergegas ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan pengesahan.
“Sampai di hospital, saya melihat sendiri mayatnya. ALLAH....! Berat menerima kenyataan itu, tetapi itulah ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Arwah sering kelihatan pucat
Wan Norasyikin berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu seorang yang periang dan ceria, tetapi sejak kebelakangan ini wajahnya kelihatan pucat sahaja.
“Saya sangka dia kurang makan ubat ketika berpantang sehingga menyebabkan wajahnya nampak pucat.
“Mungkin itu juga petanda yang dia akan pergi buat selamanya. Memang nampak dia agak susah hati untuk meninggalkan bayinya ketika keluar bekerja,” katanya.Menurutnya, kemalangan berlaku pada hari kedua anaknya itu bekerja selepas bercuti lama, dan tiada siapa pun menduga perkara itu akan berlaku.
“Dia kelihatan ceria bersama adik-beradik lain ketika Aidiladha baru-baru ini, dan jika berdepan masalah pun dia seorang yang tenang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bayi mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah tidak merengek walaupun tidak dapat menyusu susu ibunya.
“Sekarang kami terpaksa memberikan susu formula sepenuhnya. Selepas ini mungkin anaknya akan dijaga keluarga mertua tetapi kami akan sama-sama menjaga dan memberikan kasih sayang kepadanya.
“Kami harap Muhammad Saif dapat membesar dengan baik walaupun sudah kehilangan ibu,” katanya.
'Dia pergi dengan cara baik'
Sementara itu di Kuala Terengganu, Jannah Zaleha Nik, 68, ibu Azuddin, memberitahu, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan menganggap pemergian Allahyarham sebagai seorang perwira.
“Saya bangga dengan arwah kerana dia pergi dengan cara yang baik, iaitu dalam keadaan ingin membantu orang lain, malah saya dimaklumkan dia sempat meminta maaf kepada pemandu kereta yang terlibat dengan kemalangan itu, sebelum dirempuh," katanya.
Azuddin, bapa kepada dua anak itu maut ketika membantu Nur Alifah dan Tan Lee Lee yang duduk di bahu jalan selepas kereta mereka terbabas akibat terlanggar lopak air di LPT2, sebelum sebuah lagi kereta terbabas dan merempuh ketiga-tiga mereka.
Jannah Zaleha, bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu mengakui, pemergian anak lelakinya itu cukup meninggalkan kesan dalam hidupnya.
Menurutnya, anaknya itu berubah menjadi kurang bercakap dengan adik beradik lain, sedangkan sebelum itu, dia dianggap penyeri dalam keluarga.
“Sejurus menerima berita ini daripada anak bongsu, hati saya terus terdetik, patutlah Zuddin (arwah) berperangai pelik sejak akhir-akhir ini. Rupanya Zuddin nak tinggalkan ummi buat selamanya.
“Walaupun saya masih bersedih dan amat terkejut dengan pemergiannya, saya reda kerana tahu dia milik ALLAH walaupun saya ini ibunya,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Intan, di sini, semalam.
Menurutnya, sejak suaminya, Draman @ Muda Abdullah meninggal dunia November tahun lalu, Azuddin banyak mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradiknya.
“Sejak ayah dia meninggal, Zuddin banyak berubah. Dia lebih cakna tentang adik beradiknya berbanding sebelum ini.
“Setiap kali dia berjumpa mereka, dia akan tanya perkembangan sama ada dari segi kesihatan dan aktiviti harian mereka sedangkan sebelum ini dia jarang berbuat demikian,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Ibrahim, iaitu bersebelahan kubur bapanya, kira-kira jam 10 malam.
Semalam, akhbar melaporkan tiga kakitangan bank maut selepas terlibat dalam nahas tragik membabitkan empat kereta akibat terlanggar lopak air dalam kejadian di Kilometer 313.9 LPT2 dekat Seri Bandi, Kijal, Kemaman.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan Siti Nur Alifah Md Yusuf, 27, dan Tan Lee Lee, 47, yang merupakan kakitangan Public Bank Cawangan Dungun serta Azuddin, pegawai bank di Maybank meninggal dunia di lokasi kejadian.-SINAR
0 Response to "Sayu : Wanita dua hari berkerja selepas pantang maut tinggalkan anak yatim piatu (4Gambar)"
Catat Ulasan