Siti Nuroshlizan yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli, Kelantan disahkan meninggal dunia oleh Tabung Haji dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Jumaat lalu serta meninggalkan tiga anak iaitu Siti Nurul Najihah, 14; Siti Nurul Nadiah, 10, dan Iman Basheer, 5.

Mohd. Fadzlin memberitahu, walaupun masih terkejut dan sedih dengan berita kematian tersebut, mereka sekeluarga menerimanya sebagai ketentuan Allah.

“Sebelum berangkat menunaikan haji, banyak kali dia menyatakan keinginan untuk mati di Mekah dan meminta anak-anaknya sentiasa sedekahkan al-Fatihah buatnya kelak. Walau bagaimanapun, saya tidak menyangka perkara tersebut benar-benar berlaku.

“Tiada perubahan ketara ditunjukkan oleh arwah, namun dia kelihatan lebih fokus dalam menjalani ibadah. Arwah pernah memberitahu saya fokus dia sekarang adalah persiapan untuk akhirat semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menceritakan semula detik sebelum isterinya berangkat ke Mekah, Mohd. Fadzlin berkata, arwah mengucup pipinya dan anak-anak seolah-olah mengetahui bahawa itulah kucupan terakhir mereka sekeluarga.

“Pada masa ini saya sedang berusaha mendapatkan pasport dan visa bagi membolehkan melawat jenazah isteri. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz kerana sedia membantu dalam pengurusan dokumen perjalanan ke Mekah, bantuan tersebut sangat diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu anak kedua Allahyarham Siti Nuroshlizan, Siti Nurul Nadiah ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, dekat sini berkata, dia sempat menyampaikan kata-kata terakhir kepada ibunya.

“Sebelum ummi pergi, saya minta ummi jangan mati di sana. Ummi juga ada nasihat, jangan tinggal solat, selalu baca al-Quran dan doakan dia selamat,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kewangan serta membantu suami mangsa bagi mendapatkan pasport dan visa kebenaran berangkat ke Mekah.

“Alhamdulillah, semuanya diper­mudahkan oleh Allah apabila permohonan pasport Mohd. Fadzlin telah diluluskan dan hanya menunggu visa sahaja. Oleh sebab itu, saya sangat berterima kasih kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim atas segala bantuan yang diberikan.

“Saya berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan ujian daripada Allah. Insya-Allah mereka akan diberi sokongan dan bantuan selagi mampu. Tabung Haji telah berjanji akan mendapatkan penerbangan paling awal kepada suami mangsa sekiranya semua dokumen telah lengkap,” katanya yang berada di bangunan Tabung Haji di sini bagi membantu Mohd. Fadzlin.

Turut hadir Setiausaha Sulit Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Irwan Mansor dan Pegawai Khas Pengerusi Tabung Haji, Mohd.Khairul Rizzuan Abu Hassan.