Sharifah Shahora Aibkan suami yang main kayu tiga ?

Selepas membuat pendedahan mengejutkan ramai baru-baru ini mengenai rumah tangganya ibarat retak menanti belah, pelakon Sharifah Shahora, 40, mengakui hubungan dia dan suaminya, pengarah Raja Mukhriz kini dingin.

Shahora yang ditemui pada majlis previu Program Ramadan & Syawal Syukur Selalu Media Prima di Petaling Jaya, Selangor semalam, menyatakan suaminya ada membuat pengakuan mengenali dan sering berhubung dengan wanita yang didakwa ‘pengganggu’ kebahagiaan dia dan suaminya itu.

Katanya, Mukhriz memujuk, meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Namun, Shahora enggan memaafkan suaminya kerana masih curiga terhadap pengarah filem Ophilia itu.

“Sejak saya membuat pendedahan tersebut di laman sosial, dia ada mengaku sering berhubung dan bermesej dengan perempuan itu.

“Dia mengaku dia silap dan minta maaf. Dia janji tidak akan mengulanginya lagi.

“Namun, susah untuk saya terima kemaafan itu sebab itu sebelum ini sejak saya dapat tahu tentang perbuatannya itu kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya memintanya supaya berhenti dan jangan berhubung dengan perempuan itu tetapi dia masih lagi buat perkara yang sama.

“Jadi, saya anggap kemaafannya hanya satu permainan. Saya takut dia dan perempuan itu mempermainkan saya lagi.

“Tambahan saya sekarang dalam keadaan tengah panas hati dengan mereka,” luahnya dengan panjang lebar.

Beberapa hari lalu, Shahora membuat pendedahan pada sebuah akhbar tempatan mengenai kebahagiaan rumah tangganya diganggu oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Yanie.

Selain itu, Shahora juga mendedahkan identiti dan nombor telefon wanita yang dipercayai berasal dari Singapura itu menerusi laman sosial, Twitter miliknya.

Bagaimanapun, Shahora mengesahkan dia masih lagi tinggal sebumbung dengan suaminya.

Katanya, buat masa ini dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Tuhan Pada masa sama, dia cuba sedaya mungkin mempertahankan rumah tanggga yang telah dibinanya.

“Apapun kami masih sebumbung. Saya dididik suami saya agar tidak menjadi isteri yang nusyuz.

“Lagipun, jika dalam keadaan sekarang saya bertindak begitu (keluar rumah), mungkin akan menambahkan lagi masalah.

“Jika dirumah kalau saya betul-betul tertekan mengenangkan hal itu dan perbuatan dia terhadap saya, saya hanya akan bermesej saja dengan dia kalau nak bercakap, tak boleh nak bersemuka.

“Mujur rumah kami tiga tingkat, jadi seorang di atas seorang di bawah,” jelasnya.

Dalam pada itu Shahora mendedahkan wanita tersebut ada menghantar mesej memohon maaf kepadanya.

“Perempuan tu ada mesej saya baru-baru ni, minta maaf tapi saya masih belum boleh terima lagi.

“Katanya, selepas saya dedahkan mengenai identiti dia di laman sosial, dia tertekan dan berasa malu sebab satu Malaysia maki dia.

“Selama tiga bulan saya berdiam, saya minta dia supaya berhenti menghubungi suami saya tetapi dia tidak endahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahora menyatakan dia membuat pendedahan tersebut kerana terlalu tertekan serta berasa kecewa dipermainkan suami sendiri dan wanita berkenaan.

“Saya bukan nak aibkan suami saya tetapi saya sudah tidak tahan dan tertekan kerana merasa ditipu. Bayangkan, saya tengah tidur mereka bermesej.

“Saya ada terbaca mesej perempuan itu tanya, “manager mana?” suami saya balas, “dia tidur”.

“Mengingatkan perkara itu buat saya rasa geram dan marah sangat. Nasib baik saya dapat tahu perkara ini, jika tidak tentu sampai sekarang saya fikir suami saya sayangkan saya sangat-sangat walhal berhubung dengan perempuan lain.

“Saya ada suruh dia kahwin saja dengan perempuan itu tapi dia tak mahu pula,” katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini Shahora menyatakan dia tidak terfikir mahu membuat tindakan memfailkan perceraian sebaliknya mahu bertenang dan menyerahkan segalanya kepada takdir.

Shahora dan Raja Mukhriz berkahwin pada 26 Oktober 2008 dan belum dikurniakan anak. Mereka kini membela anak angkat. -Mylunchpad

0 Response to "Sharifah Shahora Aibkan suami yang main kayu tiga ?"

Catat Ulasan