Berhadapan masalah kewangan antara punca sering berlakunya ‘perang mulut’ di antara suami isteri. Jika tidak dikawal dan bersabar pasti akan mengundang masalah.
Bagaimanapun tidak semua pasangan suami isteri sedar akan perkara ini sebaliknya berbelanja melebihi kemampuan terutama pada era moden yang serba moden ini.
Banyak perkara yang boleh dilakukan pasangan suami isteri untuk membina rumah tangga bahagia terutama bab kewangan. Kisah Salim (bukan nama sebenar) elok dijadikan teladan.
Kisah seorang suami yang prihatin dan merancang strategi kewangannya supaya tidak menghadapi masalah membesarkan anak-anaknya. Begini kisah Salim.
“Saya berumur 40 tahun telah berkahwin dengan Lela (bukan nama sebenar) 10 tahun lalu dan dikurniakan tiga orang anak yang sedang membesar.
“Saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Isteri tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa. Berapa sangatlah gaji seorang kerani hanya cukup untuk menampung perbelanjaan bulan ke bulan.
“Walaupun begitu saya tidak pernah putus asa. Saya bekerja keras untuk menambah pendapatan keluarga dengan membuat kerja lebih masa dan membantu adik saya berniaga di gerai selepas waktu kerja.
“Alhamdulillah, setiap bulan saya dapat menyelesaikan hutang rumah dan membeli keperluan dapur serta belanja anak-anak ke sekolah. “Isteri saya suri rumah sepenuh masa tetapi suka memasak dan menjahit. Dia mengambil upah menjahit dan menjaga anak jiran seramai tiga orang. “Syukur kerana isteri sangat memahami masalah kewangan yang saya lalui.
Bagaimanapun saya tidak mahu membebankan isteri. Tidak mahu dia merasa penat sehari suntuk bekerja. “Mana hendak menguruskan rumah tangga, menjaga anak orang dan menjahit. Tetapi Alhamdulillah setakat ini dia bijak membahagikan masa dan tidak menjejaskan tugasnya di rumah.
“Pelajaran anak-anak juga terjaga. Setiap malam isteri saya membimbing anak-anak mengaji al-Quran dan membuat kerja sekolah mereka. Saya sangat kagum dengan kegigihan isteri.
“Berbalik kepada cerita saya membantu di gerai adik saya selepas waktu kerja, saya juga berterima kasih kepadanya kerana memberi saya peluang untuk menambah pendapatan walaupun tidak seberapa.
“Kata orang lepaslah untuk meringankan beban kewangan saya. Saya mula bekerja di gerai adik saya pukul 6 petang jika saya tidak buat kerja lebih masa. “Tetapi pada hari Sabtu dan Ahad saya memberi sepenuh masa di gerai tersebut yang beroperasi dari pukul 3 petang hingga 12 malam. “Adik saya seorang yang rajin dan minat berniaga.
Dia sangat berjaya dengan gerainya itu yang telah dibuka selama lapan tahun berdekatan dengan kawasan tempat tinggal kami. “Melihat kejayaannya saya terfikir untuk membuka sebuah gerai tetapi buat masa ini belum bersedia lagi dan perlu mengumpul modal terlebih dahulu.
“Sebagai ketua keluarga saya mesti lakukan sesuatu untuk keselesaan keluarga saya. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya. Itu yang saya selalu ingat.
“Saya kemudian mengambil keputusan mencadangkan isteri saya berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil upah menjahit secara komersil. Tidak payah lagi menjaga anak jiran.
“Dia setuju. Kami dengan baik memberitahu kepada jiran yang menghantar anak mereka ke rumah tentang hajat kami dan mereka faham.
“Saya keluarkan sedikit modal dari simpanan saya dan serahkan kepada isteri untuk membeli keperluan yang patut. Sebuah ruang khas di dalam rumah saya berikan untuk isteri jadikan ‘butik’ sementaranya.
“Hendak seribu daya dan jika malas 1,000 alasan itu yang boleh saya katakan kepada isteri untuk mencabarnya dalam perniagaan itu. Syukur isteri sangat rajin.
“Dari mulut ke mulut bisnes isteri saya semakin mendapat tempat di kalangan tetangga dan saudara mara juga kawan-kawan. Rakan-rakan pejabat saya juga ramai yang menempah dengan isteri. Mereka memuji jahitan isteri sangat kemas dan halus.
“Setelah hampir beberapa bulan kami memulakan perniagaan menjahit itu, sudah nampak perkembangannya yang positif. Tempahan semakin banyak dan kadang kala isteri tidak menang tangan.
“Isteri mengajak seorang kenalannya yang pandai menjahit untuk membantu. Saya setuju kerana dia ada pembantu. Alhamdulillah, dari hari ke hari perniagaannya semakin berjaya.
“Syukur kepada Allah kerana kami sudah keluar dari kesusahan dan kini sedang menikmati hidup yang agak senang hasil usaha kami sendiri.
“Saya masih bekerja dan membantu adik di gerai jika kelapangan. Itu saya tidak akan tinggalkan sebab saya juga berterima kasih kepada adik saya kerana memberi saya peluang dan rezeki di situ.
“Isteri saya juga semakin gembira kerana kedai jahitnya di rumah semakin popular dan mendapat perhatian ramai. Impian saya di suatu ketika kelak adalah untuk membuka sebuah butik yang sebenarnya kepada isteri.
“Ini sebagai menghargai penat lelahnya membantu saya menambah pendapatan keluarga kami. Walaupun dia tidak meminta tetapi saya tahu dia tentu teringin mengembangkan perniagaannya ke tahap yang lebih baik dan di tempat yang selesa dan cantik.
“Saya berjanji kepada diri sendiri akan berusaha ke arah itu dan insya-Allah semoga terzahir impian tersebut dalam masa terdekat.
“Kini saya sedar adalah lebih baik bertindak awal dalam menentukan hala tuju hidup daripada menunggu kerana bimbang tidak akan terlaksana.
“Dalam hubungan ini saya percaya kepada persefahaman antara suami isteri. Seorang sahaja berusaha tidak akan berjaya. Setiap usaha perlukan sokongan antara satu sama lain. “Saya berharap rezeki kami akan melimpah ruah untuk kami membantu dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Sekiranya dia (isteri saya) membaca catatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya.
Semoga Allah pelihara kasih sayang kita ini hingga ke Jannah,’’ demikian Salim menamatkan ceritanya. Syabas Salim di atas kesabaran dan semangat anda yang begitu tinggi. Saya kagum kerana anda seorang lelaki, suami dan bapa yang bertanggungjawab.
Sikap baik dan usaha murni anda sebagai ketua keluarga bakal menjadikan anda seorang manusia yang dihargai di dunia dan akhirat. Bertuah anda memiliki seorang isteri yang sangat baik dan memahami. Doa saya semoga hidup anda sekeluarga sentiasa di dalam perlindungaNya jua! Menamatkan catatan, pesanan saya, setiap usaha yang baik insya-Allah akan dipermudahkan oleh Allah. - BS Utusan Online
“Dalam hubungan ini saya percaya kepada persefahaman antara suami isteri. Seorang sahaja berusaha tidak akan berjaya. Setiap usaha perlukan sokongan antara satu sama lain. “Saya berharap rezeki kami akan melimpah ruah untuk kami membantu dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Sekiranya dia (isteri saya) membaca catatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya.
Semoga Allah pelihara kasih sayang kita ini hingga ke Jannah,’’ demikian Salim menamatkan ceritanya. Syabas Salim di atas kesabaran dan semangat anda yang begitu tinggi. Saya kagum kerana anda seorang lelaki, suami dan bapa yang bertanggungjawab.
Sikap baik dan usaha murni anda sebagai ketua keluarga bakal menjadikan anda seorang manusia yang dihargai di dunia dan akhirat. Bertuah anda memiliki seorang isteri yang sangat baik dan memahami. Doa saya semoga hidup anda sekeluarga sentiasa di dalam perlindungaNya jua! Menamatkan catatan, pesanan saya, setiap usaha yang baik insya-Allah akan dipermudahkan oleh Allah. - BS Utusan Online
0 Response to "Tips dalam perkahwinan isteri jangan malas bantu suami"
Catat Ulasan