Seorang pegawai polis ditemukan maut selepas lebih 10 jam terbabit dalam kemalangan ketika berteduh daripada hujan di bawah jambatan di Kilometer 17.2 Lebuh Raya Kajang-Cheras (Grand Saga) berhampiran Persimpangan Sungai Long, Kajang, dekat sini hari ini.
Mayat Inspektor Mohd. Nafzanee Mohd. Adnan, 36, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Bahagian Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ditemukan kira-kira pukul 3 pagi dalam longkang berhampiran tempat kemalangan oleh anggota polis yang kembali menjalankan siasatan selepas dimaklumkan salah seorang mangsa masih hilang.
Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 3.50 petang semalam, seorang lelaki yang memandu kereta Proton Saga secara tiba-tiba hilang kawalan ketika cuba mengelak kenderaan di hadapan terbabas ke tepi lebuh raya.
Kemalangan tersebut turut meragut nyawa seorang warga emas, Hasril Ab. Rahman, 63, manakala empat lagi cedera parah.
Bagaimanapun, mayat Mohd. Nafzanee pada awalnya tidak ditemukan semasa kejadian dan ha-nya disedari selepas tiada pemilik motosikal yang terlibat dalam kemalangan datang menuntut atau memberikan keterangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kemalangan itu berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan selepas cuba mengelak kenderaan lain.
“Pemandu kereta tersebut yang dalam perjalanan pulang dari Putrajaya menekan brek kecemasan sebelum terbabas ke kawasan berlopak sebelum melanggar pengguna jalan raya yang lain.
“Usaha mengesan waris warga emas yang maut di tempat kejadian itu masih diteruskan ekoran alamat pada kad pengenalannya kini tidak lagi didiami,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin ketika dihubungi memberitahu, jenazah Mohd. Nafzanee dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
“Jenazah kemudian dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras sebelum kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras hari ini.
“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nadia Khamis yang sarat mengandung serta sepasang anak kembar, masing-masing berumur enam tahun iaitu Dhia Damia dan Danish Danial,” ujarnya.- Alfatihah Credit : Utusan Online, DTR
0 Response to "Sayu : Maut ketika berteduh mayat 11 jam baru jumpa di longkang"
Catat Ulasan