Gambar TMJ - Alamak Stadium Larkin dah hilang jadi Viral

Susulan dakwaan kehilangan tiang gol di Stadium Ipoh yang dikaitkan dengan penyokong JDT, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil dengan sekeping gambar berunsur jenaka yang dimuat di laman Facebook, hari ini.

Melalui gambar yang disiar di laman Facebook Johor Southern Tigers itu menunjukkan beliau membuat lawak yang kononnya Stadium Larkin telah hilang.

Gambar itu mendapat lebih 18,000 likes daripada pelayar Facebook setakat berita ini ditulis.

Beliau sebelum ini membidas kenyataan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang mendakwa penyokong JDT mencuri tiang gol di stadium Perak itu.

Dalam kenyataan itu, beliau meminta pihak Pafa mengemukakan bukti atas pertuduhan itu bagi mengelakkan dakwaan itu sebagai kenyataan tidak masuk akal.

“Berhubung isu kecurian tiang gol yang didakwa oleh Setiausaha Kehormat Pafa (Abdul Aziz Yeop Jamaluddin) telah dilakukan oleh penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim, bukti perlu diberikan sekali agar ianya tidak dipandang sebagai kenyataan yang tidak masuk akal.

“Dimanakah kawalan keselamatan sehinggakan tiang gol yang sebesar itu mampu dicuri tanpa dilihat oleh pihak yang bertugas? Tahukah berapa ramai diperlukan untuk mengangkat tiang gol yang tertanam dan bagaimana untuk membawanya pergi.

“Jangan kerana terlalu mencari kesalahan sehingga perkara di luar batas fikiran juga terus dicanang yang akhirnya akan memalukan diri dan imej persatuan itu sendiri. Apa-apa pun saya tabik semua penyokong JDT,” katanya melalui satu kenyataan di laman Facebook sama.

Sebelum ini, Pafa dilaporkan akan tetap membuat tuntutan ganti rugi terhadap kerosakan pada papan iklan, jaring gol yang dikoyakkan serta kehilangan tiang gol di Stadium Perak pada perlawanan berkenaan yang didakwanya dilakukan oleh penyokong JDT.

Jumaat lalu, Perak menewaskan JDT dengan 2-1 dalam saingan Liga Super. - SINAR

0 Response to "Gambar TMJ - Alamak Stadium Larkin dah hilang jadi Viral "

Catat Ulasan