Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat individu yang mengugut penyampai stesen radio BFM dan penyampai itu sendiri berhubung video pembentangan undang-undang hudud di Kelantan yang menjadi viral.
Khalid menerusi tulisannya di akaun Twitter pada Sabtu berkata, penulis skrip bagi video melibatkan penyampai itu juga akan dipanggil untuk siasatan.
"Kes BFM, @PDRMsia akan siasat kedua-dua pihak. Penyiar BFM dan yang ugut penyiar. Penulis skrip penyiar juga akan dipanggil," katanya dalam 'tweet'nya.
Penyampai stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin menerima ugutan selepas gambar-gambarnya tersebar secara meluas di Facebook dengan pelbagai kata-kata kesat ditulis terhadapnya.
BFM telah mengeluarkan video itu dari halaman YouTube BFM.
Stesen radio itu berkata, pihaknya kesal dengan serangan peribadi terhadap Aisyah yang hanya menjadi penyampai tidak tetap dalam video tersebut, bukannya penyampai biasa.
Dalam video satira dua minit "Hudud Isi Periuk Nasi" yang disiarkan pada Khamis, Aisya telah mengkritik Dewan Undangan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Video ini dihasilkan dan diarahkan oleh Projek Dialog, platform untuk membincangkan isu-isu penting di negara ini.
Aisyah menyatakan bahawa agama telah digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti ekonomi dan kadar penggunaan dadah dan perceraian yang tinggi.
BFM berkata, Aisyah bukanlah penulis skrip, justeru apa yang dilihat di video itu bukanlah pendirian peribadinya mengenai isu itu.
Stesen radio itu turut memohon maaf di atas sebarang kesalahan yang mungkin timbul daripada video tersebut. - Mstar
0 Response to "Polis siasat penyampai BFM dan individu mengugut - KPN"
Catat Ulasan