Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya membuka kalendar 2015 dengan langkah kiri apabila dibelasah 6-0 oleh Oman dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama musim ini di Stadium Al-Seeb, Oman, malam tadi.
Oman yang menghuni tangga ke-96 dunia berbanding pasukan Malaysia yang sekadar berada di posisi 153 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), jelas berada pada kelasnya tersendiri apabila menguasai hampir 70 peratus perlawanan.
The Reds yang juga nama gelaran bagi pasukan kebangsaan Oman, tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pantas mengambil kesempatan di atas keadaan kelam kabut barisan pertahanan negara dengan Yaqob Abdul-Karim merembat deras buat menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-15 untuk mendahului pelawat 1-0.
Berselang tiga minit kemudian, pasukan tuan rumah yang mendapat bimbingan jurulatih dari Perancis, Paul Le Guen hampir menambah jaringan kedua namun sepakan leret Ahmed Mubarak Al-Mahaijri di minit ke-19 sekadar singgah ke sebelah kanan gawang negara biarpun Farizal sudah tertewas.
Serangan bertali-arus Oman ke kubu Malaysia akhirnya membawa padah apabila pemain pertahanan kanan negara S Kunalan melakukan asakan keras kepada pemain tuan rumah, dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdul Aziz Al-Muqbali minit ke-42.
Sebaik bersambung separuh masa kedua, pengendali negara Dollah Salleh melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memburu gol pertama, namun Oman lebih pantas menambah gol ketiga melalui sentuhan Qasim Said, biarpun babak kedua baru sahaja berlangsung tidak sampai dua minit buat tuan rumah selesa mendahului 3-0.
Skuad kebangsaan yang muncul naib juara Piala AFF Disember lalu, terus dimalukan apabila Oman menambah tiga gol lagi masing-masing menerusi Abdul Aziz (minit ke-51), Ali Al-Busaidi (minit ke-65) dan Mohsin Al-Khaldi (minit ke-88), melengkapkan malam penuh derita skuad Dollah. - Harian Metro Foto AFP
0 Response to "4 Gambar : Harimau malaya dibelasah 6-0 oleh Oman"
Catat Ulasan