Johor Bahru : “Dia cium tangan saya untuk ke sekolah seperti biasa, tidak nampak sebarang perubahan pun kerana dia memang pendiam dan tidak banyak cakap.”
Demikian menurut Azlyzah Salleh, 36, yang seakan-akan tidak percayai anaknya, Muhamad Zulfan Aidit Zamrol, 10, telah pergi buat selama-lamanya akibat lemas semasa mandi di Tasik Layang-Layang, Pasir Gudang bersama-sama tujuh rakannya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Dia yang bekerja sebagai promoter di sebuah kedai di sini mengakui Muhamad Zulfan Aidit yang merupakan anak keempat daripada enam beradik seorang yang baik dan mendengar kata.
“Kami sekeluarga amat sedih dengan kehilangannya. Semasa kejadian, saya dan suami, Zamrol Dollah, 39, sedang bekerja,” katanya ditemui di rumah mereka di Taman Cendana, di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang rakan mangsa, Nur Putra Muharram Abd. Samad, 10, memberitahu, sebelum kejadian mereka menunggang basikal di sekitar tasik tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.
“Pada pukul 6 petang, kami membuat keputusan untuk mandi di tasik berkenaan sebelum kejadian tidak diingini itu berlaku,” katanya yang sedih dengan kehilangan Muhamad Zulfan Aidid.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Abdul Samad Salleh pula berkata, mangsa ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 7.10 malam.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.10 malam semasa menerima rawatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE
0 Response to "Sayu : Ibu tidak percaya Zulfan Aidit sudah tiada (3Gambar)"
Catat Ulasan