Petaling Jaya : Tidak tahan lagi dengan sikap Tasha Shilla, ahli muay thai iaitu Han Wong mahu mendedahkan insiden serangan bekas kekasihnya itu di dalam kelab hiburan termasuklah pendedahan rakaman video.
Han, 25, ketika dihubungi mStar Online berkata, setakat ini dia sudah pun mengumpul beberapa bahan bukti dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat hiburan berkenaan untuk siasatan pihak polis.
"Saya ada semua bukti berhubung insiden berkenaan dan selepas semua siasatan dilakukan saya sendiri akan dedahkan dalam Instagram saya tentang kebenaran kejadian itu.
"Saya tidak berbohong malah ramai orang yang melihat kejadian itu termasuk beberapa rakan artis yang turut berada di kelab sama.
"Tujuan saya bukan untuk memburukkan Tasha tetapi saya ingin mencari keadilan kerana saya tidak bersalah dalam hal tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, dia sudah pun membuat laporan kedua di sebuah balai polis pada petang Jumaat selain menyerahkan beberapa bahan bukti kepada pihak berkuasa bagi membolehkan mereka melakukan siasatan termasuk bukti rakaman CCTV di kelab berkenaan.
Dalam pada itu, Han berkata, dia terkejut dengan tindakan Tasha di kelab itu memandangkan mereka tidak pernah bertemu sejak berpisah tiga bulan lalu.
Kata Han, sekiranya ada sebarang rasa tidak puas hati terhadapnya, Tasha boleh bersemuka dengannya secara peribadi dan bukannya menimbulkan kekecohan.
"Saya tidak tahu apa motif dia kerana kami sudah lama tidak berjumpa tetapi setiap masalah boleh berbincang secara baik dan bukannya mencetuskan masalah," ujarnya.
Ditanya mengenai hubungan sebenar dia dengan wanita dikenali sebagai Carmen, Han mengakui wanita berkenaan adalah kekasihnya dan dia tidak bersalah hal tersebut.
"Saya kasihan kepada Carmen kerana dia tidak bersalah tetapi turut diserang pada kejadian itu," katanya.
Sementara itu, menceritakan mengenai kejadian berkenaan, Han berkata, dia terserempak dengan Tasha di kelab berkenaan yang terletak di Jalan Tun Razak dekat sini sebelum mendekatinya untuk bersalaman.
Bagaimanapun kata Han, salam yang dihulurkan tidak diendahkan Tasha sebelum dia mengambil keputusan untuk kembali ke mejanya.
"Benar kami sudah putus cinta tetapi saya langsung tidak berdendam dan tujuan saya menyapanya hanya sebagai seorang rakan tambahan pula kami sudah lama tidak berjumpa.
"Biarpun saya terkejut dengan sikapnya yang dingin tetapi saya tetap bertanya khabar sebelum berlalu pergi," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Han tidak menafikan Tasha disimbah air oleh rakan-rakannya tetapi tindakan itu dilakukan selepas wanita berkenaan menampar dan menyimbah air ke muka salah seorang temannya.
"Dia tiba-tiba datang ke meja dan serang teman wanita saya sebelum dua kawan lelaki saya cuba menenangkan Tasha. Namun dia pula bertindak menampar muka salah seorang kawan saya dan menyimbah air ke mukanya.
"Rakan-rakan lain yang berang dengan perbuatan itu lalu menyimbah kembali air ke mukanya sebelum pengawal kelab datang menghalau Tasha keluar dari tempat berkenaan," katanya lagi.
Ketika hendak pulang kata Han, dia terkejut keretanya telah dirosakkan oleh hampir 20 lelaki yang tidak dikenali tetapi dipercayai ada kaitan dengan Tasha.
"Semasa di tempat letak kereta kira-kira pukul 4 pagi, ibu dan bapa Tasha serta adiknya turut ada bersama mempersoalkan kejadian Tasha disimbah air," katanya.
Sebelum ini hubungan Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 28, dan Han sudahpun goyang selepas dipercayai terdapat pihak yang cuba mengganggu hubungan mereka itu. -MSTAR
0 Response to "Han Wong dan kekasih mahu dedah bukti diserang Tasha Shilla ?"
Catat Ulasan