Bekas Penyampai Radio Di Penjara Sehari, Denda RM16,000

Bekas Penyampai Radio Di Penjara Sehari, Denda RM16,000 | Seorang bekas penyampai radio Singapura menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara dua tahun setelah didapati bersalah mencabul dua rakan karib isterinya, tiga tahun lalu.

Low Yong Kian

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah memerintahkan perayu, Low Yong Kian, 30, dipenjara sehari dan denda RM16,000.

Lelaki itu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret pada 28 Ogos tahun lalu atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita terbabit.

Hakim Kamardin menetapkan demikian selepas mendapati terdapat keadaan khas dalam kes tersebut.

“Keadaan khas dalam kes ini, tunang (kini isteri) juga berada dalam parti tersebut, di dalam bilik yang sama dan masing-masing berada dalam keadaan mabuk hingga ada yang muntah.

“Penghukuman atas keadaan khas ini memberikan peluang kedua kepada perayu dalam kes ini dan mahkamah untuk meminda keadilan dengan belas ihsan dengan menggantikan penjara sehari dan denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan,” kata beliau, semalam.

Hakim Kamardin turut memerintahkan perayu dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.

Yong Kian sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan mencabul mangsa berumur 33 dan 35 tahun ketika menghadiri parti bujang di dalam bilik sebuah hotel lima bintang di Jalan Pinang, dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 22 Julai 2012.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala perayu diwakili peguam, Kitson Foong. - UTUSAN ONLINE

sumber
http://ift.tt/1PEhY2S

0 Response to "Bekas Penyampai Radio Di Penjara Sehari, Denda RM16,000"

Catat Ulasan