Buang Bayi Yang Masih Bertali Pusat Dan Berbalut Tuala Ketika Jemaah Masjid Sedang Solat Maghrib
$%Seorang bayi yang masih bertali pusat dan berbalut tuala ditinggalkan di tepi tangga Masjid Sungai Gelugor ketika jemaah sedang menunaikan solat Maghrib.
Bayi perempuan itu kemudian ditemui sebaik orang selesai menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan kira-kira jam 8 malam.
Seorang saksi, Mohammad Hafiz Mohammad Zaidi, 26, berkata jemaah lelaki dimaklumkan mengenai bayi itu oleh seorang jemaah wanita yang terdengar bunyi tangisan bayi.
“Selepas solat Maghrib, saya ke tandas dan seorang makcik bertanya kepada saya ada jemaah perempuan solat di bahagian lelaki ke, kerana dengar bunyi tangisan bayi di tangga masjid.
“Sebaik dimaklumkan, kami terus ke bahagian tangga dan mendapati bayi perempuan sedang menangis. Saya terus beritahu imam dan jemaah lain,” katanya.
Mohammad Hafiz berkata seorang daripada jemaah terus mengambil bayi itu dan melihat ada lampin pakai buang serta beberapa helai baju bayi dalam sebuah beg berhampirannya.
“Ada jemaah lelaki yang nampak seorang wanita menghampiri tangga masjid sebelum tergesa-gesa keluar, tapi dia tidak sangka wanita itu meninggalkan bayi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi Bernama, mengesahkan kejadian itu, dan berkata bayi itu dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan
masjid itu untuk siasatan lanjut.
“Saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-FMT
0 Response to "Buang Bayi Yang Masih Bertali Pusat Dan Berbalut Tuala Ketika Jemaah Masjid Sedang Solat Maghrib"
Catat Ulasan