Jika mahu dibandingkan dengan pelakon dan penyanyi yang seangkatan dengannya, laluan seni wanita bernama Ayda Jebat ini boleh digambarkan sebagai sedikit berliku dan bersimpang-siur.
Pernah memutikkan rasa cinta terhadap dunia nyanyian dengan menyertai program Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan, semangat ampuh anak jati kelahiran Melaka ini berkecai di tengah jalan selepas pihak akademi mengambil keputusan menyingkirkannya daripada pertandingan dengan alasan prestasi yang terlalu lemah.
Bungkam menelan kenyataan, tempat kosong Ayda kemudian diisi oleh adiknya sendiri, Nur Syafinaz Jebat atau Fina yang seterusnya dinobatkan sebagai pemenang kedua musim berkenaan.
Itu cerita empat tahun lalu. Sebuah prolog yang masih tersimpan kemas dalam lipatan memori Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat.
Bagi peneraju naskhah fenomena Rindu Awak 200% itu, minatnya terhadap dunia nyanyian tidak pernah luntur. Bahkan, sepanjang tempoh dikenali sebagai pelakon, dirinya sentiasa menyimpan segunung impian untuk kembali aktif sebagai penyanyi.
“Saya suka menyanyi. Saya menyanyi bukan kerana mahu membuktikan bahawa diri ini berbakat sebagai penyanyi, tetapi ingin memberitahu orang ramai bahawa saya cintakan dunia muzik,” ungkapnya membuka bicara sewaktu ditemui pada majlis pelancaran program-program khas Astro sempena bulan Ramadan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.
Mungkin saat ini, adrenalin yang mengalir dalam jiwa muda bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu semakin dipacu deras, memandangkan perancangan untuk menerbitkan single pertamanya sudah terlaksana.
“Saya berasa sungguh teruja kerana single pertama berjudul Siapa Diriku kini sudah menemui peminat.
“Apa yang lebih istimewa, single berentak pop rancak itu dijadikan lagu runut bunyi untuk drama terbaharu lakonan saya bersama Zul Ariffin berjudul M.A.I.D,” jelas Ayda.
Begitupun, Ayda sendiri tidak pasti sama ada percaturannya memilih untuk terjun kembali ke bidang nyanyian mampu membuahkan hasil yang setara lumayan dengan bidang lakonan.
“Selalunya, agak sukar bagi seorang pelakon untuk bergelar penyanyi dan mudah bagi seorang penyanyi untuk cuba berlakon.
“Namun, dalam kes saya, ia agak berlainan. Dari bidang nyanyian, saya terjun ke dunia lakonan dan cuba membina nama semula sebagai penyanyi.
“Saya tidak dapat menduga apa-apa kerana ini percubaan pertama saya. Apa yang saya harapkan adalah penerimaan dan sokongan yang berterusan daripada peminat,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai single yang ditulis bersama dengan Omar K itu, Ayda memberitahu, Siapa Diriku berkisar tentang kerenah manusia yang gemar menghakimi individu lain.
“Siapa Diriku tidak berbaur sinis atau memerli sesetengah pihak. Namun, ia lebih kepada luahan hati buat orang ramai supaya berhenti menghakimi jika tidak mengenali saya dengan lebih dekat,” ujarnya.
Gandingan kedua
Selepas berjaya menambat hati penonton menerusi Rindu Awak 200%, Ayda kembali bergandingan dengan pasangan layar kacanya, Zul Ariffin menerusi drama bersiri M.A.I.D.
Merupakan gandingan kedua bersama pemenang Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia Ke-26 itu, Ayda optimis drama arahan Michael Ang tersebut bakal diterima sebaik drama Rindu Awak 200%.
“Memang ada segelintir yang sudah mula bosan dengan gandingan kami. Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak sebanyak mereka yang menyokong.
“Sebagai seorang pelakon, saya tidak takut dibandingkan dengan lakonan terdahulu. Lagipun, karya dan gaya lakonan yang ditampilkan menerusi M.A.I.D jauh berbeza dengan Rindu Awak 200%.
“Jadi, saya dan Zul yakin produk kali ini akan diterima dengan baik,” ujarnya positif.
Menerusi drama adaptasi novel karya Suri Ryanan tersebut, M.A.I.D mengisahkan tentang pembantu rumah bernama Noorul (lakonan Ayda) terpaksa melayan kerenah majikannya, Harris (lakonan Zul Ariffin) yang terlalu cerewet.
Walaupun pada awalnya mereka tidak sehaluan, namun bibit cinta mula terbit antara Noorul dan Harris setelah duduk sebumbung.
Dalam usaha mengekalkan keserasian yang terjalin antaranya dan Zul sebelum ini, Ayda menambah, dia percaya bahawa kejayaan sesebuah naskhah itu terletak pada penerimaan penonton.
“Bakal diterima atau tidak, itu terpulang pada penonton. Kami telah berusaha untuk memberikan yang terbaik.
“Selebihnya, kami serahkan kepada rezeki yang dikurniakan Allah,” jelasnya lagi.
Gedik
Satu perkara tentang Ayda yang tidak ada pada pelakon lain adalah kemesraan yang kerap ditonjolkannya setiap kali berpeluang bersua muka.
Begitu juga dengan penampilannya di layar kaca. Kehadiran wanita genit bermata bundar itu tidak pernah gagal menceriakan suasana dalam mana-mana acara.
Barangkali disebabkan sikapnya itu, Ayda sering disalah anggap dan tidak terlepas dilabel sebagai seorang yang gedik.
“Sewaktu menyertai AF lagi, saya memang dikenali seperti ini. Saya suka bercakap dan berkawan dengan semua orang.
“Memang ramai yang cakap saya gedik dan tidak sopan. Jujurnya, saya pelik, apakah tindakan yang membuat sehingga saya dilabel sebegitu?
“Saya seorang pelakon. Jadi adakah saya perlu ‘berlakon’ dan menjadi orang lain sewaktu berada di luar lokasi. Sebolehnya, saya cuba untuk menjadi diri sendiri,” tutur Ayda sambil mengakui selesa dengan dirinya sekarang.
Peminat
Walaupun sering dilempar dengan kata-kata kurang manis dan dilabel dengan pelbagai gelaran, pelakon filem Gila Gila Remaja 2 itu masih positif terhadap kritikan yang diterima.
Tidak pernah menganggap cemuhan yang diterima sebagai satu bebanan, Ayda menyifatkan perkara itu sebagai lumrah bergelar anak seni.
“Sejujurnya, kalau baca komen sebegitu yang ditinggalkan di Instagram, memang ada rasa sedih. Sebagai manusia, tipu kalau saya katakan tidak rasa apa-apa.
“Bagaimanapun, bagi mengekalkan prestasi sebagai pelakon, saya tidak pernah ambil pusing dengan kata-kata mereka itu,” jelas Ayda yang tidak pernah menyekat mana-mana pengguna Instagram yang melemparkan kutukan terhadapnya.
Tambah Ayda, walaupun kerap dihujani kutukan daripada pengguna laman sosial, masih ada peminat yang benar-benar menyokong serta mendukung kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya suka membalas komen-komen peminat di Instagram. Bagi saya, interaksi antara peminat penting, lebih-lebih lagi mereka yang banyak berkorban menyokong saya selama ini.
“Saya tidak ambil masa lama untuk membalas komen mereka. Asalkan, ia mampu menggembirakan mereka,” jelasnya lagi.
Ditanya tentang perancangannya sepanjang bulan Ramadan, Ayda berkata, dia bakal memperlahankan aktiviti lakonan bagi memberi laluan terhadap rangka promosi single pertamanya itu.
“Selepas tamatnya M.A.I.D, saya akan terus terlibat dengan penggambaran drama yang sama untuk versi hari raya.
“Kemudian, saya akan terus memfokuskan kerjaya nyanyian dan promosi untuk single Siapa Diriku,” katanya. - Kosmo !
0 Response to "Ayda Jebat akan kembali menyanyi "
Catat Ulasan