Kuala Terengganu : Sekumpulan penduduk gempar selepas menemui seekor ikan naga sepanjang empat meter terdampar di kawasan pantai Pulau Lima di Pulau Redang, di sini, semalam.
Ikan itu ditemui pada jam 7.30 pagi oleh penduduk pulau itu yang kebetulan berada di kawasan pesisiran pantai terbabit.
Seorang penduduk kampung, Hemiludin Mamat Yatim, 25, berkata, ikan naga atau Oarfish itu ditemui mati dan dihanyutkkan ombak sehingga ke pulau terbabit.
Katanya, ikan berkenaan dianggarkan sepanjang empat meter dan beratnya mencecah 20 kilogram.
“Ini kali pertama saya melihat ikan jenis itu dan ramai pelancong yang melihat bangkai ikan terbabit mengambil peluang bergambar dengannya,” katanya.
Menurut sumber Jabatan Perikanan Negeri, bangkai ikan berkenaan kini dijaga Jabatan Taman Laut dan diserahkan kepada pihaknya untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca kematiannya.
Katanya, siasatan awal mendapati ikan yang berasal dari Lautan Hindi itu tersesat dari kumpulannya sebelum memasuki perairan Laut Cina Selatan.
“Kemungkinan ikan ini tidak dapat membiasakan diri dengan keadaan air masin di sini selain kepanasan air laut yang ketara.
“Ikan ini dikatakan mati tidak sampai 24 jam lalu sebelum dihanyutkan ke pantai negeri ini,” katanya.
Ikan yang dikenali sebagai ikan naga itu adalah daripada keluarga Regalecidae yang juga ikan bertulang terpanjang di dunia.
0 Response to "5 Gambar : Ikan naga terdampar di Pulau Redang "
Catat Ulasan