Pasir Mas: Pilu hati seorang ibu yang menanti kepulangan anaknya sejak Isnin lalu apabila menerima khabar duka, mayat anaknya itu ditemui orang awam dalam belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti, Cyberjaya, petang tadi.
Kematian Rosshida Abdullah, 30, nyata mengejutkan Salamiah Hamid, 61, yang sudah menunggu kepulangan anak bongsunya itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, pada hari berkenaan.
Menurut Salamiah, Rosshida sendiri memaklumkan kepadanya supaya menanti kepulangan dia di lapangan terbang itu.
"Arwah minta saya tunggu pada jam 10 malam kerana pesawatnya akan tiba pada jam itu dari Kuala Lumpur.
"Saya ke lapangan terbang dengan menaiki kereta sewa dari rumah, tetapi dia tidak juga kelihatan. Saya tunggu sampai jam 1 pagi sebelum nekad pulang selepas panggilan telefon tidak berjawab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Repek, di sini, semalam.
Menurutnya, dia gembira apabila anaknya itu memaklumkan mahu berhenti kerja sebagai juruwang di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor kerana akan berkahwin pada Aidilfitri, malah sudah merancang mengedar kad jemputan perkahwinan apabila pulang nanti.
Katanya, Rosshida dijangka bernikah dengan tunangnya yang tinggal di Berek 12, Kota Bharu pada Aidilfitri ketiga.
"Malangnya, tiada majlis yang akan berlangsung. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya yang hanya mengetahui mayat anaknya ditemui pada 3 petang selepas dimaklumkan seorang saudara terdekat.
Sementara itu, di Cyberjaya, sumber berkata, turut ditemui bersama mayat Rosshida adalah sekeping nota serta beg tangan berwarna putih.
Nota itu antara lain mengandungi luahan hati dan masalah yang dihadapi termasuk tertekan kerana diburu along selain meminta maaf.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. - HM
0 Response to "Sayu : Pilu hati ibu anak yang di tunggu pulang di jumpai mati di bawah jambatan "
Catat Ulasan