Kuala Lumpur : Dalam kekecohan pengguna hari ini yang mahu mencuba segala macam cara berjimat kerana tidak pasti dengan impak pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), aplikasi Whatsapp secara kebetulan dan rasmi telah memperkenalkan fungsi panggilan suara.
Ia merupakan ciri yang selama ini hanya dapat digunakan oleh pengguna rawak berdasarkan jemputan.
Pengguna Whatsapp kini boleh menghubungi senarai kenalan mereka di mana-mana sahaja melalui sambungan WiFi atau 3G/4G.
Selepas mencipta nama dengan menawarkan khidmat penghantaran teks percuma, Whatsapp meninjau pasaran suara melalui protokol internet (VoIP) dengan ciri terbaharu untuk Android dan iOS.
Pada tab ‘Calls’, pengguna boleh membuat panggilan keluar dan menerima panggilan masuk. Mereka yang tidak memberi respons pada panggilan tersebut akan menerima notifikasi panggilan tidak berjawab.
Perkembangan terkini itu memberi saingan sengit buat aplikasi komunikasi Skype daripada Microsoft dan juga Viber daripada Rakuten.
Dengan skala pengguna Whatsapp berjumlah lebih 500 juta di seluruh dunia, aplikasi itu juga merupakan alternatif yang signifikan kepada pelan berbayar pengendali rangkaian mudah alih.
Sementara itu di media sosial, pengguna Whatsapp seluruh dunia memberikan maklum balas baik terhadap ciri terbaharu tersebut. – Awani
0 Response to "Terkini : Pengguna Whatsapp sambut baik ciri Panggilan Suara"
Catat Ulasan