KUALA LUMPUR 21 APRIL 2015 - Johan sebagai juri tetap Ceria Popstar Musim Ketiga di sini hari ini. Gambar: JEFFRI IRAN. Pemberita: AMIRAH (Mingguan), AIDA (Hiburan), IZUAN (Hib.Kosmo) dan FISYA (Sensasi Bintang Kosmo).
Justeru, Ozlyn sendiri turut berbangga dengan anugerah yang diberikan Allah kepada kehidupannya. Johan yang terlalu baik dan sering mendahulukan keluarga adalah pemberian maha istimewa kepada kehidupannya.
“Sama seperti isteri lain, tentunya melihat kejayaan suami sendiri mendatangkan kepuasan buat diri ini. Maklumlah, kami pernah susah bersama-sama. Tidak ramai yang tahu, pernah satu ketika, saya terpaksa membenarkan dia menggadai barang kemas hadiah perkahwinan untuk makan seharian. Bayangkan, bagaimana susahnya kami waktu itu.
“Namun saya bersyukur sangat. Melewati waktu sukar itu, Allah limpahkan rahmatnya. Hubungan yang baru saja kami bina itu menjadi semakin kukuh dan utuh. Malah, kami menjadi semakin sayang, tidak pernah bergaduh walaupun dalam keadaan langsung tidak berduit,” cerita Ozlyn saat-saat susah pada awal perjalanan kehidupan berumah tangga.
Kongsi Ozlyn, situasi paling teruk tentunya ketika anak sulung mereka yang hanya dikenali sebagai Abang, berumur tiga tahun. Ketika itu, dia dan Johan buntu untuk membeli susu buat, memandangkan mereka langsung ketiadaan wang.
“Itu paling menyedihkan. Kami pernah tiada wang untuk membeli susu. Terpaksa gantikan susu dengan air kotak soya sahaja. Memang sedih sangat bila teringat apa yang sudah dilalui. Benda ini selalu mengajar kami untuk tidak terlalu mendongak tinggi walaupun sekarang ini hidup kami sekeluarga sudah semakin senang,” katanya yang juga seorang pelakon.
Sikap Johan yang pemurah juga merupakan antara sebab mengapa dia berasa paling beruntung kini. Kasih sayang ikhlas seorang lelaki bernama Johan menjadikan dirinya begitu berharga dan rasa disayangi. Kehidupannya juga berubah dek kerana kerendahan hati Johan, menerimanya sebagai teman hidup dan melayan dirinya dengan penuh ikhlas.
“Orang lihat bagaimana kami menjalani kehidupan melalui laman sosial semata-mata, tetapi itu bukanlah gambaran sebenar. Sebagai manusia kami juga ada masalah sama seperti orang lain. Cuma bezanya dengan Johan semua masalah itu nampak kecil dan boleh diselesaikan dengan baik. Di situ bijaknya dia sebagai ketua keluarga.
“Sikap positif yang dimiliki Johan jugalah yang membuatkan saya bersyukur apabila diberikan kesusahan di awal dahulu dengan dia. Pengalaman itu menjadikan kami saling menghargai,” katanya yang akur dengan permintaan Johan untuk tidak mendedahkan wajah permata hati mereka kepada umum.
Dikurniakan dengan anak -anak yang sihat dan comel, tentu sekali Ozlyn seperti ibu-ibu lain yang mahu berkongsi wajah mereka dengan umum, tetapi dia perlu mendahulukan dan patuh akan kehendak suami.
“Sebab itu dalam laman sosial juga saya tetap berhati-hati untuk lepaskan gambar anak-anak, hanya sipi-sipi sahaja. Itu pun selepas Johan tengok dan benarkan. Saya perlu akur, walaupun jika diikutkan kehendak diri, saya tak kisah berkongsi wajah anak-anak dengan orang lain,” katanya.
Sama seperti wanita lain, nafsunya terhadap barangan seperti beg dan pakaian juga tidak banyak bezanya. Namun melihatkan kemampuan Johan, ada yang menggelarkan Ozlyn kini terlalu dimanjakan dengan kemewahan. Menolak apa yang berlaku sebagai dimewahkan, Ozlyn lebih melihat dari sudut penghargaan seorang suami terhadap seorang isteri.
“Kalau tanya Johan dia akan beritahu yang saya layak dapat itu semua kerana tugas sebagai pengurus kepada dirinya. Maknanya, itu adalah sebahagian gaji saya, mungkin ada benarnya juga.
“Bagi saya pula, apa salahnya untuk saya mendapatkan sesuatu melalui duit suami sendiri? Suami yang beri keizinan dan dalam masa yang sama, dia tidak melupakan tanggungjawab yang lain, saya rasa tidak ada salahnya,” katanya.
Merupakan seorang pelakon, tidak dapat dia menipu diri untuk memberitahu bahawa masih menebal perasaan untuk berada di depan kamera.
Namun, mengetahui tanggungjawab yang digalas dirinya ketika ini, Ozlyn melihat tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri adalah yang paling utama.
“Saya masih berlakon, tetapi memang terpaksa memilih memandangkan saya sangat menitikberatkan skrip yang diterima. Selain itu tugas sebagai seorang isteri dan ibu juga harus diberi keutamaan dahulu memandangkan saya mahu memastikan keluarga sentiasa menjadi keutamaan buat diri saya,” kata finalis kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Tribute P. Ramlee baru-baru ini.