Difahamkan kumpulan berkenaan mahu menguji bahan letupan jenis ammonium nitrate fuel oil atau dikenali ANFO untuk perancangan melakukan serangan di beberapa kawasan strategik di seluruh negara.

Menurut sumber, anggota militan IS melakukan eksperimen terbabit selepas mempelajari cara-cara membuat bahan letupan menerusi internet.

“Ujian awal itu juga dilakukan bagi melihat keberkesanan bom me­mandang­kan mereka tidak mempunyai pengalaman ekoran tiada pakar membuat bom dalam kumpulan terbabit. “Jika berjaya, ANFO sebanyak 40 hingga 50 kilogram boleh menghancurkan sebuah bangunan setinggi tiga hingga empat tingkat,” katanya. 

Tambah sumber, kumpulan militan tersebut merancang melakukan serangan selepas dikatakan mendapat ‘mandat’ daripada pemimpin IS di Syria. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 12 anggota militan yang ditangkap itu sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas sasaran strategik dan berkepenting­an kerajaan di sekitar Lembah Klang.

Kata beliau, kesemua mereka yang ditangkap Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas itu adalah rakyat tempatan yang berusia antara 17 hingga 41 tahun. Katanya, tangkapan tersebut dibuat di sekitar Hulu Langat, Selangor dan Cheras semalam dan hari ini.

 “Antara barang yang dirampas dalam operasi terbabit adalah bendera IS, serbuk dipercayai ammonium nitrate sebanyak lebih 20 kilogram, serbuk dipercayai potassium nitrate (20 kilogram) dan cecair kerosin (2 liter) yang digunakan bagi menghasilkan bahan letupan.

 “Polis juga merampas empat biji bateri 9 volt, batang paip PVC (tiga), alat kawalan jauh (dua), penimbang digital, penyukat (dua), motor penggera, pelbagai jenis wayar dan beberapa peralatan yang digunakan menghasilkan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Khalid berkata, rancangan melancarkan serangan itu sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria ke atas negara Islam sekular yang didakwa sebagai musuh mereka. “Selain itu, serangan berkenaan juga berbentuk tindak balas terhadap operasi penangkapan terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya. - Utusan Online